Kuala Lumpur, 18 April 2014 – Sudah menjadi tradisi buat Kumpulan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan percuma bagi para pengunjung Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB). 

 

MSAM 2014 akan berlangsung dari 20 – 27 April bertempat di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjung, Kota Bharu, Kelantan dan bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak pada 20 April ini.  Sebagai Rakan Utama MSAM, MIDF akan menyediakan 38 bas bagi perkhidmatan pengangkutan percuma pada tahun ini. 

 

Bas-bas yang dihias dengan pelekat “Pengangkutan Awam Minggu Saham Amanah Malaysia 2014” akan melalui Kota Bharu serta kawasan-kawasan utama di Kelantan, diantaranya Rantau Panjang, Jerteh, Pasir Puteh, Kuala Krai, Pengkalan Kubor, Tumpat, Pengkalan Chepa, Pantai Cahaya Bulan, Cabang Empat, Sabak, Bachok dan Jeli. 

 

Perkhidmatan bas percuma yang disediakan sepanjang MSAM berlangsung dari 20 - 27 April 2014 akan bermula seawal 6.30 pagi dan berakhir pada 8.00 malam mengikut jadual harian.  Manakala perkhidmatan bas yang mengambil penumpang dari RTC ke Stesen Bas Kota Bharu akan berakhir pada pukul 9.30 malam. 

 

Selain dari menyediakan perkhidmatan ini untuk para pengunjung ke MSAM, MIDF turut menaja perkhidmatan van untuk warga kerja Kumpulan PNB dan anak-anak syarikatnya.  Van-van tersebut akan digunakan untuk mengangkut tenaga kerja yang terlibat dalam MSAM dari hotel penginapan masing-masing ke Tapak MSAM di RTC Kota Bharu dan sebaliknya.  Sebanyak 15 buah van telah disediakan untuk tujuan ini.

 

“Perkhidmatan pengangkutan percuma MIDF juga merupakan satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi kami, kerana kami ingin memastikan rakyat negeri Kelantan mempunyai kemudahan untuk berkunjung ke MSAM,” kata Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Mohd. Najib Hj. Abdullah.  “Sekurang-kurangnya dengan adanya kemudahan ini mereka tidak perlu risau di mana hendak meletakkan kenderaan masing-masing dan mereka boleh meluangkan lebih masa untuk melawat tapak pameran dan mengambil bahagian dalam acara-acara yang tersedia.”

 

MIDF telah menyediakan perkhidmatan pengangkutan percuma sejak tahun 2007 semasa MSAM dianjurkan di Kuantan, Pahang. 

 

Pada tahun ini MSAM mempunyai konsep baru yang mana ia lebih berasaskan aktiviti daripada berasaskan pameran sahaja seperti dahulu.  Gerai pameran MIDF yang terletak di Anjung Santai atau zon Lifestyle akan juga menyediakan galeri “Art Market” yang mempamer serta menjual hasil lukisan dan kraftangan pelajar-pelajar Fakulti Seni Lukis and Seni Reka UiTM. Terdapat juga Inflatable Playground untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah serta aktiviti Face Painting. 

 

MIDF turut menganjurkan Pameran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang akan menawarkan jualan dan demonstrasi  batik canting dari Nordin Batik & Craft Sdn. Bhd. serta pembuatan Seni Khat dan Wau oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan.  Pameran yang bertempat di Lanai Seni MIDF akan beroperasi dari 20 – 27 April 2014. 

 

Tahun ini adalah kali ke-15 acara MSAM dianjurkan oleh PNB dan pameran tahunan ini dijangka akan menarik lebih 200,000 pengunjung.  MSAM di Sabah pada tahun 2012 berjaya menarik seramai 280,000 orang dan ini merupakan rekod pengunjung tertinggi, manakala MSAM tahun lepas di Perlis juga berjaya menarik seramai 257,000 pengunjung.

 

 

#####

Mengenai MIDF


MIDF telah ditubuhkan lima puluh empat tahun yang lalu hasil daripada satu kajian oleh Bank Dunia.  MIDF merupakan institusi kewangan pembangunan utama di negara ini bagi tujuan memangkinkan pembangunan dan pemodenan industri pembuatan negara.


Kumpulan MIDF telah berkembang menjadi entiti yang lebih kukuh dan lebih besar, menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan yang berdaya saing termasuk Perbankan Pelaburan, Kewangan Pembangunan dan Pengurusan Aset.

 

MIDF merupakan anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad.

 

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

 

Anita Ramly

Ketua, Komunikasi dan Perhubungan Korporat

Jabatan Komunikasi Korporat

Tel: (03) 2173 8756

Faks: (03) 2173 8866

H/P: (019) 332 4809

E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Laman Sesawang: www.midf.com.my