Kuala Lumpur, 24 Mac 2014 – Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) serta Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah bekerjasama untuk menganjurkan Pameran Seni “RONA” yang mempamerkan hasil karya seni pelajar tahun satu dari fakulti tersebut. 

 

Terdapat 108 karya seni yang dipamerkan oleh pelajar-pelajar yang mengambil Kursus Teori Warna dan pameran ini merupakan kesinambungan kepada pameran bertajuk “Color Theory” yang telah diadakan sekitar Mei hingga Jun 2012 di Galeri Tuanku Nur Zahirah (GESTURZ), UiTM. 

 

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid telah merasmikan pameran tersebut di MIDF-UiTM Art Space yang terletak di Menara MIDF, 82 Jalan Raja Chulan, 50200 Kuala Lumpur. 

 

Pameran ini menunjukkan manifestasi kefahaman tentang warna, transformasi kemahiran mewarna dan juga menzahirkan ragam ekspresi karya oleh setiap orang pelajar.  Pada hari ini, kita menyaksikan tunas yang bakal membentuk rebung dan buluh yang kukuh berdiri melestarikan kesenian bangsa,” ujar Tun Ahmad Sarji di dalam ucaptama beliau. 

 

“MIDF dan UiTM telah menandatangani Memorandum Persefahaman di mana tanpa sumbangan dan kerjasama kedua pihak, pameran ini tidak akan berjaya.  Begitu juga dengan tenaga kerja dari Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah yang banyak membantu serta memberi tunjuk ajar khususnya dalam penganjuran aktiviti-aktiviti kesenian di Galeri MIDF,” kata Tan Sri Dato’ Mahmood Taib di dalam ucapannya.  “Dengan usaha yang berterusan serta sokongan dari pelbagai pihak, saya yakin usaha untuk menyemarakkan seni dan menjadikan Galeri MIDF sebagai sebuah pusat kesenian yang terkenal akan mampu tercapai.”

 

Pameran ini merupakan salah satu aktiviti susulan memorandum persefahaman kedua yang ditandatangani di antara MIDF and UiTM pada September 2012.  Objektif Pameran Seni RONA ini adalah untuk menyediakan ruang bagi pelajar-pelajar dari FSSR untuk mempamerkan hasil karya mereka sekaligus memberi pendedahan serta pengalaman kepada pelajar terbabit. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Mohd. Najib Hj. Abdullah berharap supaya platform yang disediakan untuk pelajar-pelajar FSSR untuk mempamerkan karya seni mereka dapat memberi kesedaran serta pendedahan kepada orang ramai mengenai bakat yang sedia ada dalam industri seni tempatan.  

 

108 karya seni tersebut akan dipamerkan di MIDF-UiTM Art Space dari 21 Mac sehingga 2 Mei 2014.  MIDF-UiTM Art Space dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat, daripada jam 9.00 pagi sehingga 5.30 petang.  Kesemua kerja-kerja seni yang dipamer adalah untuk jualan dengan harga yang berpatutan. 

 

MIDF dan UiTM telah menganjurkan sebuah lagi pameran koleksi hasil karya 7 ahli akademik dan bekas pelajar dari FSSR, UiTM.   Pameran yang berlangsung di MIDF-UiTM Art Space dari Disember 2013 sehingga Mac 2014 telah mempamerkan hasil seni lukisan, cetakan seni dan lakaran.   

 

Selain daripada pameran seni, MIDF juga bekerjasama dengan UiTM untuk menganjurkan bengkel-bengkel seni bagi murid-murid sekolah, dan UiTM juga telah mereka kalendar meja 2014 untuk MIDF. 

 

Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan mengenai Pameran Seni RONA, sila hubungi bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan MIDF di 03-21738888 sambungan 8756 atau 8757.  

 

#####

Mengenai MIDF


MIDF telah ditubuhkan lima puluh tiga tahun yang lalu hasil daripada satu kajian oleh Bank Dunia.  MIDF merupakan institusi kewangan pembangunan utama di negara ini bagi tujuan memangkinkan pembangunan dan pemodenan industri pembuatan negara.


Kumpulan MIDF telah berkembang menjadi entiti yang lebih kukuh dan lebih besar, menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan yang berdaya saing termasuk Perbankan Pelaburan, Kewangan Pembangunan dan Pengurusan Aset.

 

MIDF merupakan anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad.

  

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

 

Anita Ramly

Ketua, Komunikasi dan Perhubungan Korporat

Jabatan Komunikasi Korporat

Tel: (03) 2173 8756

Faks: (03) 2173 8866

H/P: (019) 332 4809

E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Laman Sesawang: www.midf.com.my